Jumaat, 23 September 2011

Aktiviti-aktiviti utama penduduk



-Pendidikan,tarbiah dan kerohanian(cth:sekolah,ceramah, sambutan hari2 kebesaran islam,solat jemaah)


Pendidikan kanak-kanak seawal usia 4 tahun disediakan sebagai persediaan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi agar dapat memenuhi syarat berinteraksi dengan dunia yang serba maju dan padat dengan persaingan dalam bidang-bidang tertentu. Antara agensi yang menawarkan sesi pembelajaran di Kampung ini ialah Taman Didikan Kanak-kanak(TADIKA) Kemas, PASTI(Pusat Asuhan Tunas Islam) di bawah seliaan Pas, dan Sekolah Rendah KAFA integrasi Al-Sulaimiyah.


Skop pendidikan yang dijalankan di Kampung ini tidak tertumpu pada kanak-kanak sahaja, tetapi juga remaja, dewasa dan juga warga emas. Ramai remaja yang melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di luar kawasan kampung. Walaubagaimanapun, aspek pendidikan agama dan kerohanian tetap diterapkan secara konsisten melalui kelas-kelas dan program-program keagamaan yang diadakan di masjid,balairaya, sekolah, dan rumah-rumah tertentu. Sebagai contoh, Kelas mengaji diadakan seminggu sekali di masjid, Kelas Fiqh khusus untuk wanita yang diadakan di rumah salah seorang penduduk, Kuliah maghrib, ceramah agama bersempena hari-hari kebesaran Islam, dan sebagainya.

Anjakan paradigma dalam pendidikan- Ustaz Zamri telah dijemput sebagai pemceramah program kecemerlangan ibu bapa dan anak-anak di KAFA Kampung Sungai Yu.




-Pertanian


Sebahagian penduduk kampung ini menjalankan aktiviti pertanian untuk diniagakan hasilnya di dalam dan di luar kawasan kampung. Bentuk muka bumi yang rata, dan tanah gambut yang sesuai untuk menanam pokok-pokok tertentu serta iklim cuaca yang stabil antara sebab yang menjadi faktor aktiviti pertanian sebagai aktiviti utama penduduk. Tambahan pula, tingkat atau lulusan pelajaran penduduk yang menyukarkan mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang menjanjikan pulangan terlumayan membuatkan mereka tidak ada pilihan lain untuk mencari punca rezeki selain bercucuk tanam dan mengusahakan kebun-kebun. Antara tanaman diusahakan ialah tanaman kelapa sawit, kelapa pandan, jagung, buah naga, pisang, tembikai tembaga, dan sayur-sayuran seperti bendi, kekacang, sawi, kalian, terung, cili, sayur ulam dan sebagainya.
Menjana ekonomi- kelapa yang telah kering dikait untuk  dijadikan pelbagai kegunaan harian seperti minyak,dan makanan melalui pelbagai proses terlebih dahulu di sebuah kilang pemprosesan kelapa.

Pemandangan kebun kelapa sawit

Suasana di salah sebuah kebun Kelapa Pandan

Buah kelapa sawit yang telah diangkut, dikumpulan terlebih dahulu sebelum dihantar ke kilang dengan menggunakan lori kelapa sawit.

Biji sawit yang bertaburan juga dikutip untuk mendapatkan hasil yang lebih bermanfaat serta lebih keuntungan. 




-Perikanan;


 Kegiatan perikanan dijalankan secara sederhana. Ia tertumpu pada pencarian sumber makanan laut yang diusahakan oleh individu-individu serta kumpulan tertentu untuk mendapatkan hasil jualan daripada tangkapan ikan, udang, dan kerang. Sumber-sumber ini didapati daripada perairan selat Melaka dan sungai-sungai yang terdapat di Kampung ini. Dengan adanya kemudahan pengangkutan seperti bot nelayan, sampan, dan tokang(sampan bersaiz kecil yang digunakan khusus untuk mencari kerang), para nelayan dan pemancing dapat menjalankan aktiviti mereka dan mendapatkan hasil laut dengan mudah dan cepat. Jeti, merupakan salah satu perhentian yang menjadi tumpuan para nelayan untuk mencari sumber mata pencarian mereka berdasarkan aktiviti perikanan ini.

Ikan patin, antara jenis ikan yang boleh didapati di jeti Kampung Sungai Yu.




-Penternakan;


Kaum India merupakan kaum yang paling ramai menjalankan aktiviti penternakan di Kampung ini. Biarpun tidak secara meluas, namun kegiatan ini seolah-olah tidak pernah pupus sejak puluhan tahun yang lalu. Hal ini kerana ia merupakan kegiatan yang dijalankan secara turun-temurun oleh keluarga yang tertentu bagi mendapatkan rezeki hasil daripada ternakan lembu, dan kambing.

sekumpulan lembu yang diternak oleh salah sebuah keluarga India di kampung ini.




-Perindustrian dan perniagaan


Siapa tidak kenal dengan Wak Tumin,salah seorang usahawan berjaya di kampung ini. Beliaulah satu-satunya pengusaha keropok lekor dan kerepek beraneka jenis dan warna yang telah giat menerobos pasaran ke peringkat yang tinggi. Walaupun tidak sampai ke peringkat antarabangsa seperti keropok Terengganu, namun bagi penduduk kampung di sini, hasil tangan pekerja-pekarja beliaulah yang membuatkan semua jenis makanan berasaskan sumber utama daripada kampung ini digemari ramai. ‘Rezeki Berkat’, itu merupakan nama yang cukup kreatif digelarkan untuk sebuah kilang mesra pengguna milik Wak Tumin ini.


Selain itu,perniagaan lain yang dijalankan ialah perniagaan runcit. Paling popular, kedai runcit yang diusahakan oleh keluarga Hamdan atau digelar sebagai ‘Kedai Hamdan’. Lokasinya yang sangat strategik, berada di pusat kampung, berdekatan sekolah dan masjid membuatkan ia menjadi tumpuan penduduk kampung untuk membeli barangan harian seperti sayur-sayuran, hasil laut, barang kegunaan rumah, topup, minyak motor, dan banyak lagi. Kedai-kedai lain yang ada di kampung ini pula ialah ‘Kedai runcit Saadon’, serta warung-warung yang menjual makanan seperti roti canai, nasi ayam, nasi lemak, dan minuman-minuman untuk dinikmati pada awal pagi hingga lewat petang.


Selain perniagaan makanan dan runcit, terdapat juga perindustrian kecil yang berunsurkan perniagaan bahan logam iaitu besi. Encik Hamdan Bin Misran merupakan satu-satunya pemilik dan pengusaha indusri ini. Daripada logam besi, beliau telah mentransformasikan kepada barangan berguna seperti pintu grill, buaian,meja,kerusi dan barangan lain berasaskan besi. Banyak hasil 'seni' beliau yang dijual secara terus dan tempahan dengan harga yang berpatutan menyebabkan beliau menerima pulangan yang memuaskan.
kereta pengangkut sawit, antara barangan lain yang telah berjaya dicipta oleh Encik Hamdan melaui kreativiti beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan